Faedah Berzikir Sepanjang Masa
ZIKIR atau zikr ialah mengingat Allah swt dengan melakukan solat dan apa jua ibadah.Namun dalam pengertian biasa, zikir bererti menyebut nama-nama Allah dan sifat-Nya.Dengan memperbanyak zikir, ibadah-ibadah lain menjadi mudah dilakukan dengan senang hati.
Dengan zikir terasa kenikmatan ibadah, sehingga segala keberatan dan kesukaran tidak akan terasa.
Dengan zikir setiap beban menjadi ringan, semua bencana akan dihindarkan dan semua ketakutan akan dilenyapkan, kerana zikir mempunyai kekuatan untuk melahirkan ketenteraman dan menghilangkan segala ketakutan.
Penghapus dosa
Zikir dapat menghapuskan dosa dan maksiat. Orang yang suka berzikir akan dipelihara dari bencana dan penyesalan pada hari akhirat.
Zikir membersihkan hati yang dikuasai oleh perbuatan-perbuatan keji. Zikir memisahkan manusia dari godaan syaitan.
Jika seseorang yang suka berzikir sambil menangis dalam keadaan bersunyi diri, maka pada hari kiamat dia akan ditempatkan di naungan Arasy Ilahi di mana pada hari itu manusia akan menjerit-jerit dan berteriak kerana kepanasan yang sangat menyeksa.
Limpahan Kurnia
Orang yang menyibukkan diri dengan zikir maka Allah akan mengurniakan kepadanya lebih daripada orang yang memohon kepadanya.
Allah swt berfirman yang bermaksud: Barangsiapa yang sibuk berzikir kepada-Ku sehingga tidak ada kesempatan untuk berdoa kepada-Ku, maka Aku mengurniakan kepadanya sesuatu yang lebih daripada orang-orang yang berdoa kepada-Ku.
Zikir adalah di antara teras amalan tasawuf. Jika telah terbuka pintu zikir bagi seseorang, bererti telah terbuka baginya jalan menuju Allah.
Barangsiapa menuju kepada Allah nescaya dia mendapatkan segala yang dikehendakinya kerana tiada berkurang apa pun pada khazanah Allah.
Ada satu bahagian manusia yang tidak subur kecuali dengan zikrullah.
Apabila zikir telah menguasai hati, bukan hanya dia telah menyuburkan hatinya tetapi juga memberi kehidupan yang makmur sekalipun dia tidak memiliki harta benda atau kerajaan.
Kesimpulannya, antara faedah zikir ialah:
• mewujudkan tanda baik sangka kepada Allah
• memelihara dari waswas syaitan
• membentengkan diri dari maksiat
• mendatangkan kebahagiaan di akhirat
• melepaskan dari penyesalan
• mendapatkan keampunan dan keredaan Allah
-------------------------------------------------------------------------
Sumber : Ahmad Mustafa
Penulis Sambilan
Kasih Sayang
16 tahun yang lalu
Tidak ada komentar:
Posting Komentar